BISMILLAH

assalam

Sunday 9 September 2012

KHABAR GEMBIRA DARI LANGIT : MENGHAYATI PERISTIWA AGUNG ISRAK DAN MIKRAJ RASULULLAH SAW

Umat Islam seluruh dunia akan menyambut ketibaan peristiwa agung iaitu Israk dan Mikraj yang ada disebut dalam ayat pertama surah al-Israk pada 27 Rejab. Ia bagaikan dinanti-nanti oleh pencinta agama Islam, kerana kepentingannya dalam mentarbiyah jiwa manusia ke arah kesempurnaan. Israk dan Mikraj adalah salah satu peristiwa penting yang berlaku pada diri baginda Rasulullah SAW.

Apabila berbicara tentang peristiwa Israk dan Mikraj ini, kita secara spontan akan terbayang kisah perjalanan Rasulullah SAW bersama malaikat Jibril yang boleh dibahagikan kepada dua fasa :

Pertama: Israk yakni perjalanan Nabi SAW menaiki binatang Buraq dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis, Palestin.

Kedua : Mikraj ialah perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha di langit yang ketujuh.

Peristiwa ini telah membongkarkan keimanan dan keyakinan umat manusia tentang kekuasaan Allah dan kebenaran terhadap kenabian nabi Muhammad SAW. Orang kafir sendiri menjadikan peristiwa Israk Mikraj ini sebagai suatu pembohongan yang menambahkan lagi penolakan mereka terhadap dakwah nabi.

Perjalanan Rasulullah SAW ini telah diabadikan oleh Allah SWT di dalam al-Quran, Surah al-Isra' ayat 1 yang bermaksud :

"Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidilharam ke Masjidilaqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."

Menariknya, keseluruhan perjalanan Rasulullah SAW hanya berlangsung pada satu malam.

Sejarah Perjalanan Israk Mikraj

Rasulullah SAW mengalami pembedahan di dada,ianya dilakukan oleh malaikat Jibrail AS. Hati Baginda SAW disuci dengan air zamzam,dibuang ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan was-wasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu dan iman ke dalam dada Rasulullah SAW. Setelah itu,dadanya dijahit dan dimeterikan dengan “kahtimin nubuwwah”.

Selesai pembedahan, didatangi binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan “Israk”. Semasa Mikraj (Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah) pelbagai peristiwa yang Rasulullah lalui antaranya melihat jenis-jenis siksaan dalam api neraka, bertemu dengan para nabi terdahulu dan akhirnya bertemu dengan Sang Pencipta Allah ‘Azza Wajalla.

Peristiwa ini pada pandangan orang yang tidak beriman atau mereka yang tipis imannya, mereka menyatakan bahawa peristiwa ini tidak mungkin akan berlaku ataupun mereka berbelah bahagi samada mahu mempercayainya atau pun sebaliknya. Tetapi bagi orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan rasul-Nya maka mereka tetap percaya dengan penuh keimanan kepada peristiwa ini.

Setelah baginda SAW menceritakan apa yang telah terjadi padanya kepada masyarakat umum, maka orang-orang kafir bertambah kuat mengejek dan mendustakan baginda SAW. Fitnah terhadap baginda SAW bertambah kuat malah ada juga di kalangan mereka yang sebelum ini telah memeluk Islam telah pun kembali murtad.

Kembara Isra dan Mikraj Rasulullah SAW dengan kehendak Allah SWT merupakan titik mulanya difardhukan solat yang telah Rasulullah SAW terima lansung dari Allah SWT. Allah SWT melalui Rasulullah SAW telah mewajibkan solat fardu 5 kali sehari tetapi persoalannya berapa ramai umat Islam sekarang yang mengerjakan solat fardu 5 kali sehari. Ada juga yang solat tapi tidak lengkap 5 kali sehari. Berapa ramai pula yang solat tetapi tidak mengikut sunnah Rasulullah SAW iaitu solat berjemaah setelah azan dilaungkan.

Antara pengajaran yang boleh diambil adalah seperti berikut:

1. Peristiwa ini adalah satu ujian dari Allah SWT terhadap tahap keimanan orang-orang Islam. Siapakah diantara mereka yang utuh imannya dan yakin akan kebenaran Rasulullah SAW, dan siapakan yang ragu-ragu akan kebenaran Rasulullah SAW. Masyarakat ketika itu menganggap perjalanan begitu jauh dari Makkah ke Baitul Maqdis dalam jangka waktu yang singkat seperti satu malam, adalah satu perkara yang mustahil.

Maka ramai mendustakan Rasulullah SAW. Akan tetapi kita tahu sekarang ini bahawa ia bukanlah satu perkara yang mustahil kerana sudah ada kapal terbang yang boleh melakukan demikian.

2. Allah SWT mensyariatkan solat lima waktu semasa Rasulullah menghadapNya ketika Mikraj. Ini menunjukkan betapa pentingnya ibadah solat ini. Dan Allah telah menunjukkan kepada Rasulullah SAW azab siksa yang menanti mereka yang tidak mengerjakan solat atau sengaja meninggalkan solat. . Firman Allah dalam surah al-Ankabut ayat 45 yang bermaksud :

“Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingati Allah (solat) adalah lebih besar keutamaannya dari ibadat-ibadat yang lain. Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan”.

3. Pada peristiwa ini dada Rasulullah SAW dibelah dahulu dan dikeluarkan hati beliau untuk dicucinya. Ini adalah satu pelajaran bahawa dalam kita berjalan menuju Allah SWT, dalam kita mendekatkan diri kepada Allah, hari kita mesti sentiasa dibersihkan dari sifat-sifat keji, apatah lagi unsur-unsur syirik dan kufur.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah. Allah SWT telah menunjukkan bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda SAW.


Kalau Tuan pergi ke Pulau Tioman,
Singgah semalam di Kuala Muda,
Sembahyang itu perintah Tuhan,
Jika ingkar masuk neraka.

Solat itu satu perintah,
Oleh Allah yang maha Perkasa,
Perintahnya itu jangan dibantah,
Wajibnya itu pada yang berkuasa.


Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik.

Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran. Seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala.

"Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan"
"Julang Keilmuan Jana Keizzahan"

Siti Sarah Binti Bushari
Naib Pengerusi Hewi II
(Unit Dakwah dan Pembangunan Insan)
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2012

No comments:

Post a Comment