PENGENALAN MANTIQ
Sepertimana yang kita semua ketahui, di dunia ini
wujudnya pelbagai ilmu yang mana manusia bebas belajar dan mendalami ilmu
tersebut tidak kiralah teori dan praktikalnya tetapi apa yang penting boleh
membuatkan seseorang itu berilmu dan berpengetahuan. Antaranya ialah ilmu
Matematik, ilmu Fizik dan Kimia, ilmu Wahyu dan ilmu Mantiq serta sebagainya.
Pendek kata, semua subjek yang boleh didalami dan boleh menambahkan pengetahuan
seseorang dianggap ilmu. Tetapi, di sini akan diketengahkan mengenai ilmu Mantiq
yang sangat diperlukan semua manusia untuk membezakan di antara yang baik dan
buruk.
Apabila diteliti tentang konsep keistimewaan dan kelebihan manusia
berbanding makhluk lain ialah akal pemikiran. Berpandukan akal, manusia dapat
mencari ilmu serta memandu mereka kearah yang baik dan menilai mana yang benar
dan salah. Kesesatan manusia juga disebabkan mereka tidak menggunakan akal untuk
tujuan yang baik. Lantaran itu, akal yang bersifat positif jika digunakan untuk
kebaikan akan menjadikan seseorang itu mulia dan sekiranya pula diarahkan untuk
tujuan negatif menyebabkan mereka binasa dan hina.
Akal ialah sesuatu
sifat yang boleh membezakan di antara manusia dengan haiwan dan makhluk lain.
Melalui akal, manusia mampu menerima segala ilmu yang berbentuk teori serta
mampu untuk menyusun idea-idea. Akal dalam bentuk ini merupakan asas utama
kepada fikiran manusia. Hakikat akal menurut pengertian ini dapat dijelaskan
melalui sabda nabi yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi. Maksudnya : Tidak ada satu
ciptaan Allah yang lebih mulia di sisiNya selain akal.
Mantiq merupakan
satu ilmu logik yang perlu menggunakan akal bagi membuat satu natijah atau
keputusan dalam sesuatu permasalahan. Selain itu, ilmu tersebut juga dijadikan
dalil untuk berhujah yang dikenali sebagai dalil Aqli iaitu yang melibatkan
psikologi dan persekitaran seseorang individu itu dalam berfikir secara rasional
dan profesional. Maka, jelaslah di sini bahawa Mantiq adalah satu ilmu yang
bermanfaat yang boleh membezakan antara yang baik dan yang buruk. Demikianlah
mengenai Mantiq.
PENGERTIAN ILMU MANTIQ
Pengertian ilmu
Mantiq secara amnya terbahagi kepada dua, iaitu :
1 ) Pengertian Bahasa
2
) Pengertian Istilah
Pengertian Bahasa
Mengikut pengertian bahasa,
Mantiq bermaksud :
a. Perkataan Mantiq berasal daripada bahasa Yunani, iaitu
‘Logos’ yang bermaksud : kata atau fikiran yang benar.
b. Mengikut bahasa
Arab ia berasal daripada perkataan ‘Natoqa’ yang bermaksud : berkata atau
bercakap.
c. Manakala mengikut pengertian kamus bahasa Melayu dikenali dengan
nama logik iaitu berfikir benar.
Pengertian Istilah
Mengikut istilah
pula, Mantiq Klasik telah diberi dengan berbagai pengertian dan maksud oleh
mereka yang pakar dalam ilmu Mantiq, antaranya ialah :
a. Ibn Sina
mendefinisikan ilmu Mantiq ialah suatu ilmu yang mengawal pemikiran manusia
daripada tersalah dan terpesong sewaktu berfikir. Dalam erti kata lain, beliau
juga menakrifkan Mantiq sebagai suatu ilmu untuk mencari dalil dan bukti serta
menjadi peraturan-peraturan kepada manusia ketika berfikir.
b. Imam
al-Ghazali menakrifkan ilmu Mantiq sebagai suatu ilmu yang dapat membezakan di
antara suatu ilmu yang membawa kea rah kebenaran dan keyakinan dengan ilmu yang
membawa pemikiran kea rah kesamaran dan salah. Oleh itu, Mantiq
menurut pendapat Imam al-Ghazali ialah ilmu yang membicarakan tentang
peraturan-peraturan umum sewaktu berfikir dan sekaligus mengarahkan serta
memandu akal pemikiran manusia kepada jalan yang benar dan mencapai matlamat
yang betul. Dalam erti kata lain, Imam al-Ghazali mengatakan ilmu Mantiq adalah
sebagai neraca segala ilmu atau Mizan al-‘llm.
c. Aristotle pula
berpendapat, ilmu Mantiq merupakan suatu ilmu yang menjadi alat serta asas
kepadailmu-ilmu lain.
d. Menurut Epicurus yang merupakan salah seorang
daripada ahli Falsafah Jerman mengatakan ilmu Mantiq ialah sebuah kanun dan
undang-undang berfikir.
e. Ibn Khaldun berpendapat Mantiq adalah satu
peraturan dan undang-undang yang boleh menjelaskan antara pemikiran yang benar
dengan pemikiran yang salah. Antara lain, Mantiq berfungsi untuk menjelaskan
hakikat sesuatu.
f. Mantiq ialah suatu ilmu yang membahaskan tentang
kaedah-kaedah umum supaya dapat menghasilkan pemikiran yang bernas.
g. Mantiq
ialah ilmu yang membicarakan tentang keadaan dan kedudukan penyusunan
lafaz-lafaz yang terbentuk dalam akal dan pemikiran manusia.
h. Mantiq ialah
ilmu yang membahaskan pemikiran manusia secara umum, sama ada ia pemikiran yang
benar atau salah.
i. Mantiq merupakan suatu pengibaratan yang membicarakan
tentang kaedah-kaedah yang dapat memandu manusia ketika berfikir dan mereka
melahirkan pemikiran bersesuaian dengan ucapan serta dapat menapis
maklumat-maklumat yang diterima sama ada sah atau tidak sah.
j. Pengertian
ilmu Mantiq sebagaimana yang diterima oleh majoriti ahli Mantiq ialah suatu ilmu
yang menyelidik dan meneliti tentang peraturan dalam menyusun tanggapan akal
serta gambaran pemikiran supaya melahirkannya dalam bentuk ucapan dan
pelaksanaan yang benar dan tepat mengikut kehendak sebenar.
ASAL
USUL ILMU MANTIQ
Nama Mantiq atau Logika pertama kali muncul pada Filsuf
Cicero ( abad ke-1 sebelum Masihi ) tetapi dalam erti “ seni berdebat ”.
Alexander Aphrodisias ( sekitar permulaan abad ke-3 sesudah Masihi ) adalah
orang pertama yang menggunakan kata ‘Logika’ dalam definisi ilmu yang
menyelidiki benar tidaknya pemikiran manusia.
Yunani adalah negeri asal
ilmu Mantiq atau Logika kerana banyak penduduknya yang mendapat kurniaan otak
cerdas. Negeri Yunani, terutama Athens diakui menjadi sumber berbagai ilmu.
Socrates, Plato, Aristotles dan banyak yang lainnya adalah tokoh-tokoh ilmuan
kelas pertama dunia pada masa itu yang tidak ada ilmuan global tidak mengenalnya
sampai sekarang dan akan datang. Tetapi, khusus untuk Logika atau ilmu Mantiq
Aristotleslah yang menjadi guru utamanya.
Akan tetapi, meskipun
Aristotles terkenal sebagai “Bapak Logika”, itu tidak bererti bahawa sebelum dia
tidak ada Logika. Segala para ilmuan dan ahli falsafah sebelum Aristotles
menggunakan Logika sebaik-baiknya. Dalam kata lain, disebutkan bahawa
Aristotleslah orang yang pertama kali meletakkan ilmu Logika, yang sebelumnya
memang tidak pernah ada ilmu Mantiq tersebut. Maka tak hairanlah jika ia
digelarkan sebagai “Muallim Awwal” ( Guru pertama ).
Selain itu, ada
berbagai-bagai pendapat tentang siapa orang pertama yang meletakkan nama Logika
atau Mantiq. Akan tetapi jika diselidik lebih mendalam, maka sebelum Aristotles
memang ada Logika, akan tetapi ilmu Logika sebagai ilmu yang sistematik baru
muncul sejak Aristotles, dan memang dialah orang pertama yang membentangkan cara
berfikir yang teratur dalam suatu sistem.
Kecerdasan penduduk Yunani
itulah mungkin yang telah menyebabkan lahirnya golongan Sufastiyyun. Golongan
ini dengan kemahiran berdebat yang mereka miliki menghujah dan malah merosakkan
sistem sosial, agama dan moral dengan cara menafikan pernyataan-pernyataan yang
benar, tetapi membuat penyelewengan-penyelewengan pemikiran nilai dan
moral.
PERKEMBANGAN ILMU MANTIQ DALAM MASYRAKAT
ISLAM
Secara tidak langsung pertapakan dan perkembangan ilmu Mantiq dalam
masyarakat Islam telah pun lahir seiring dengan perutusan Nabi Muhammad s.a.w
lagi. Di mana melalui Hadis baginda terdapat penuturan yang sememangnya
menggunakan logik dan kebenaran berita yang diperkatakan semuanya benar tanpa
sebarang pertikaian lagi. Seterusnya titik permulaan yang menyebabkan pertapakan
dan pertumbuhan ilmu Mantiq dalam masyarakat Islam adalah ekoran perselisihan
umat Islam dalam persoalan Imamah khasnya saat akhir pemerintahan khalifah
al-Rasyidin dan awal pemerintahan khalifah Bani Umaiyyah. Perselisihan tersebut
telah merebak kepada persoalan akidah yang akhirnya terbentuk puak Khawarij,
Syiah dan Ahli al-Sunnah.
Antara lain, pada abad kedua hijrah telah
muncul ulamak mujtahid dari kalangan al-Tabi’in dan Tabi’ al-Tabi’in yang
menggunakan kaedah al-Qiyas dalam ilmu Usul al-Fiqh, khasnya untuk istinbat.
Selain dari itu, Imam al-Syafi’e juga telah menggunakan kaedah al-Istiqra’ untuk
memastikan tempoh haidh yang paling singkat dan yang paling lama terhadap
wanita.
Secara langsungnya, ilmu Mantiq mempengaruhi dan bertapak dalam
masyarakat Islam adalah ekoran pertapakan dan perkembangan ilmu al-Kalam. Tokoh
terkenal yang membincangkan tentang ilmu tersebut seterusnya mendukung aliran
Ahli al-Sunnah Wa al-Jamaah ialah Abu Hassan al-‘Asy’ary dan Abu Mansur
al-Maturidi. Mereka bangkit mempertahankan aliran Ahli al-Sunnah Wa al- Jamaah
dengan menggabungkan dalil akal berserta al-Quran dan Hadis untuk berhujah dan
mengukuhkan akidah. Contohnya, kewujudan alam dan cakerawala yang begitu besar
dan teratur membuktikankewujudan Allah sebagai Pencipta Mutlak.
Selain
itu, ulama’ Islam juga telah mempelajari ilmu Mantiq dan menggunakan hujah serta
logik akal untuk berdebat dengan ahli al-Kitab dan Parsi yang menggunakan
Falsafah dan Mantiq untuk berdebat dengan orang Islam. Di samping itu, ulama’
Islam mempelajari Mantiq untuk berhujah dengan golongan Atheis dan al-Dahriyyun
yang tidak mengakui kewujudan Allah dan menolak pendapat mereka yang mengatakan
alam ini terjadi dengan sendiri.
TOKOH-TOKOH ILMUAN MANTIQ KLASIK
DAN MODEN
Mantiq terbahagi kepada dua, iaitu :
1 ) Mantiq Klasik
2
) Mantiq Moden
Setiap daripada kedua-duanya mempunyai tokoh-tokoh Ilmuan
Mantiq yang tersendiri, berikut adalah klasifikasinya :
Tokoh Ilmuan
Mantiq Klasik
1 ) Socrates
2 ) Arisrotle
3 ) Ibn.
Sina
4 ) Imam al-Ghazali
Tokoh Ilmuan Mantiq Moden
1 )
Francis Bacon
2 ) John Stewart Mill
3 ) Ibn. Haytham
4 )
Ibn. Hayyan
PERBEZAAN MANTIQ KLASIK DAN MODEN
Antara
perbezaan di antara Mantiq Moden dengan Mantiq Klasik yang dapat dirumuskan di
sini ialah :
1. Mantiq Klasik hanya mengkaji bentuk-bentuk pemikiran
dan mencipta peraturan-peraturan yang berbentuk teori. Peraturan tersebut
dilalui dan diikuti oleh setiap pengkaji dan pemikir untuk menghasilkan
keputusan yang benar dan tepat tanpa mengambil kira atau mengkaji bahan yang
menjadi hakikat atau kandungan pemikiran tersebut. Manakala Mantiq Moden pula
mengkaji bahan-bahan yang menyebabkan lahirnya pemikiran itu dan sebab-musabab
sesuatu perkara yang wujud dan lahir serta mengaitkannya dengan apa
yang terdapat pada kenyataan.
2. Mantiq Klasik menumpukan
serta memusatkan perhatiannya terhadap fizikal sesuatu benda tanpa menilai dan
mengkaji atau meneliti kaitan di antara benda-benda yang dikaji tersebut.
Manakala Mantiq Moden pula menumpukan kajiannya terhadap benda dan bagaimana
berlakunya perkara tersebut, sebab-sebabnya dan hubungannya di antara satu sama
lain.
3. Mantiq Klasik mementingkan dan mengutamakan teori
semata-mata. Manakala Mantiq Moden lebih menumpukan kepada percubaan dan amali
terhadap teori yang digariskan.
FAEDAH DAN MANFAAT ILMU
MANTIQ
Di antara manfaat ilmu Mantiq ialah :
1 ) Membuat daya
pemikiran seseorang lebih tajam tetapi lebih berkesan melalui latihan-latihan
berfikir dan menganalisis serta mengungkap permasalahan secara ilmiah.
2
) Membuat seseorang menjadi mampu meletakkan sesuatu pada tempatnya dan
mengerjakan sesuatu pada waktunya.
3 ) Membuat seseorang mampu membezakan
antara yang baik dan buruk. Ini merupakan manfaat yang paling asas dalam ilmu
Mantiq.
4 ) Boleh menjadikan seseorang bijak berfikir dan mempunyai hujah
tersendiri untuk berdebat serta membidas kata-kata yang tidak masuk akal dan
tidak mudah diperbodoh-bodohkan atau diperkotak-katikkan oleh individu lain
sekiranya pada dirinya mempunyai ilmu Mantiq.
HUKUM
MEMPELAJARI ILMU MANTIQ DAN ULAMA’-ULAMA’ YANG MENERIMANYA
Terdapat
beberapa perselisihan pendapat tentang hukum mempelajari ilmu ini.
1. Haram :
Pendapat Imam Ibnu Solah dan Imam An-Nawawi, tetapi dijelaskan bahawasanya
kedua-dua Imam ini mengharamkan untuk dipelajari ilmu ini sekiranya dicampur
dengan masalah-masalah falsafah yang membawa kepada kekufuran dan keraguan dari
sudut aqidah. Kedua-duanya juga berpendapat dengan mempelajari ilmu ini boleh
diambil faedah daripadanya untuk menguatkan perkara-perkara yang berkaitan
dengan aqidah dan menolak segala syubhat yang dilontarkan oleh musuh-musuh
Islam.
2. Fardu Kifayah : ke atas umat Islam seluruhnya dan harus ada
sekumpulan manusia yang mempelajarinya sehingga mampu untuk mempertahankan agama
Islam menangkis segala bentuk syubhat dan tohmahan yang dilontarkan terhadap
agama Islam. Dan atas dasar ini diletakkan hukum fardu kifayah kerana mengikut
kaedah (ما لا يتم الواجب الا به فهو واجب ).
Ulama’ yang menerima ilmu
Mantiq ialah :
1. Ibn. Rusyd - wajib hukumnya selagi tidak bercanggah
dengan landasan Islam.
2. Imam al-Ghazali - hukumnya adalah harus.
3.
Al-Farabi - tidak menjadi kesalahan mempelajarinya.
4. Ibn Sina - sama dengan
pendapat al-Farabi.
5. Ibn. Hazm - menerima dengan positif dan beliau sendiri
mempelajarinya.
6. Jumhur ulamak - hukum mempelajarinya adalah fardu
kifayah.
Antara sebab berlaku perbezaan pendapat ialah kerana ia mengambil
kira keadaan masa, zaman dan suasana semasa. Tetapi di sini, jelas menunjukkan
ulama-ulama besar kita dahulu menganggap mempelajari ilmu mantik adalah haram
dan jatuh kafir. Manakala ulama-ulama yang menerimanya, hanya Ibn Rusyd yang
menganggap wajib sementara yang lain hanya sekadar harus atau dibolehkan.
Ini
boleh menjelaskan mengapa kebanyakan daripada ajaran-ajaran, tafsiran dan
hukum-hakam mereka tiada penekanan ke arah kepentingan ilmu pengetahuan berunsur
sains walaupun tuntutan untuk mencari ilmu ini jelas terdapat di dalam al-Quran.
Kita harus bersyukur, walaupun terdapat imam dan ulama-ulama besar Islam yang
mengharamkan ilmu mantik, masih ada ahli-ahli sains dan cendekiawan Islam, yang
sebahagian daripada mereka adalah ulama yang mementingkan ilmu pengetahuan
duniawi, telah membawa kemakmuran kepada umat Islam dan melalui satu puncak
tamadun di mana umat Islam menguasai segala bidang, dari semua segi, seperti
ekonomi, ilmu pengetahuan dan ketenteraan sehinggalah tamadun Islam sebelah
Timur runtuh pada kurun ke-13 Masihi dan sebelah Barat kurun ke-15
Masihi.
Inilah juga di antara sebab mengapa menjadi tanggungjawab umat Islam
terutamanya mereka yang bergelar ulama dan cendekiawan untuk sentiasa mengkaji
al-Quran dan sunah mengikut suasana semasa dan bukannya terikat dengan pendapat
dan tafsiran ulama terdahulu. Ini telah dilakukan oleh jumhur ulama apabila
menghukum mempelajari ilmu ini sebagai fardu kifayah demi kepentingan umat
Islam, terutamanya mantik moden yang boleh membentuk kemajuan dan tamadun
sesebuah negara. Oleh itu mantik moden merupakan ilmu sains yang perlu bagi
orang Islam serta mempelajarinya dengan mendalam, supaya orang Islam akan maju
dan setanding dengan orang kafir.
Tetapi ini berlaku setelah orang bukan
Islam, terutamanya Barat, dengan sekularisme mereka, telah menguasai ilmu ini
dan menjadi maju, seterusnya menjajah hampir keseluruhan umat Islam di dunia
ini. Selepas itu barulah muncul ulama-ulama yang menganggap ilmu sains ini
penting. Di sini berlaku pertembungan dengan ulama yang masih mempertahankan
pendapat lama. Maka wujudlah golongan yang dianggap sekular dan golongan jumud.
Persoalan yang cukup penting dan besar ialahmengapa ulama-ulama besar yang ilmu
agama mereka dianggap cukup tinggi dan kefahaman yang mendalam dalam al-Quran
dan hadis, boleh mengharamkan mempelajari suatu ilmu yang cukup penting, yang
jelas dituntut seperti yang terkandung di dalam al-Quran? Pada waktu itu sudah
pasti berlaku pertembungan antara ulama-ulama yang berpendapat mempelajari ilmu
mantik adalah haram dengan cendekiawan-cendekiawan yang mempelajari ilmu
mantik.
Tamadun Islam yang sampai kepada kemuncaknya dan memberikan sinar
kepada seluruh umat manusia dan pada waktu di mana `umat Islam menjadi khalifah
di bumi Allah ini', suatu masa dahulu, mungkin tidak dicapai jika sebahagian
cendekiawan Islam waktu itu berpegang kepada hukum yang dikeluarkan oleh
ulama-ulama besar yang mengharamkan mempelajari ilmu mantik ini. (Ini tidak
bermaksud kita harus menolak ulama-ulama ini secara total). Mungkinkah ini
adalah antara sebab utama mengapa kita dapat melihat secara umumnya di dalam
pegangan kita, Ahli Sunnah Waljamaah yang diterajui oleh empat imam besar.
Penekanan hanya diberikan kepada bab-bab tertentu seperti akidah dan tauhid,
ibadah dan solat, akhlak dan adab, muamalah dan hukum serta aturan
kehidupan.
Tetapi hukum-hukum di dalam mencari dan menguasai ilmu
pengetahuan dan membina kekuatan untuk menggerunkan musuh, seperti yang dituntut
di dalam al-Quran, tidak diberikan penekanan.
Untuk menguasai ilmu mantik ini
memerlukan akal berfikir secara logik yang mana hukumnya dianggap haram dan
jatuh kafir. Imam Shafie sendiri hanya berpegang kepada al-Quran dan hadis
sebagai sumber hukum dengan menolak al-Qias. Ini kerana al-Qias merupakan salah
satu cabang ilmu mantik yang memerlukan akal berfikir secara logik.
(Imam
Shafie juga termasuk dalam ulama salaf dan hadis, mencela golongan yang mencari
dalil dan berdebat menggunakan ilmu kalam. Ini telah membawa kepada kerosakan
yang besar terhadap umat Islam seperti yang akan diterangkan selepas
ini.)
(Bukan sahaja mazhab kita tidak memberi penekanan kepada ilmu
pengetahuan, kerana mengikut Imam Ghazali, ``ulama-ulama fiqih itu tiada
mengurus mengenai batin dan tiada membuka persoalan hati dan jalan akhirat.
Tetapi mereka membangun yang zahir daripada hukum-hukum agama daripada
perbuatan-perbuatan anggota badan. Dan perbuatan-perbuatan zahir itu, adalah
mencukupi untuk tidak dihukum bunuh dan diseksa oleh sultan''- `Ihya Ulumiddin'
terjemahan oleh Prof.Tk. H. Ismail Yakub Sh; MA, Jilid 1, muka surat
550.)
RUMUSAN
Kesimpulannya, ilmu Mantiq merupakan satu
ilmu yang menggunakan akal logik iaitu manusia menggunakannya untuk mencari
petunjuk serta kebenaran seterusnya memilih mana yang baik untuk diikuti serta
menjauhi dan meninggalkan perkara buruk. Walaupun manusia mempunyai akal dan
sentiasa menggunakannya, sama ada dalam menjalani urusan kehidupan atau untuk
mencari kebenaran, namun tidak semestinya hasil pemikiran mereka menepati tujuan
sebenar serta mencapai matlamat yang dimaksudkan dan diinginkan.
Sebagai
contoh, apabila manusia melihat awan tebal yang hitam di langit, manusia
memikirkan dan menjangkakan hujan akan turun tidak lama lagi. Tetapi, tanggapan
akal semata-mata serta melalui penelitian terhadap faktor awan hitam yang tebal
tidak semestinya dapat menghasilkan keputusan yang benar dan tepat. Kerana
kadang-kadang hujan tidak turun walaupun pada kebiasaannya awan tebal yang
menandakan atau menyebabkan hujan turun.
Lantaran itu, Islam menyekat
kebebasan manusia berfikir berpandukan nafsu dan akal yang tidak diikuti dengan
akidah dan ilmu. Contohnya, fahaman golongan al-Sufustaiyyun yang menilai baik
dan buruk sesuatu berdasarkan pancaindera dan akal semata-mata. Hal itu kerana
pancaindera dan akal manusia adalah terbatas, apatah lagi untuk mengkaji perkara
yang ghaib.
Keistimewaan manusia berbanding makhluk-makhluk lain di muka
bumi ini ialah akal pemikiran. Dengan anugerah tersebut, manusialah makhluk yang
paling mulia. Justeru itu Allah mengamanahkan manusia sebagai khalifahNya untuk
memakmurkan muka bumi serta mempertanggungjawabkan supaya mematuhi segala
perintah dan menjauhi segala laranganNya.
PENUTUP
Di ahkir penulisan
kami ini, ingin kami katakan bahawa semulia-mulia manusia yang ada di atas dunia
ini adalah seorang yang bertaqwa di sisi tuhannya seperti firman Allah S.W.T
dalam Al-Quran :
إن أكرمكم عند الله أتقاكم
Taqwa bermaksud
melakukan apa yang disuruh, meninggalkan apa yang dilarang dan ditegah. Dengan
itu, maka ramailah manusia di dunia ini menjadi seorang yang baik sekiranya
mengikut panduan yang telah diturunkan oleh Allah S.W.T melalui perutusanNya
iaitu Muhammad S.A.W yang membawa risalah Al-Quran yang mulia.
Kami
berharap, dengan adanya kajian dan teks ini maka dapatlah kita bersama-sama
memahami konsep Mantiq kerana betapa pentingnya ilmu ini dalam kehidupan manusia
dan sekaligus menjalankan tugas kita sebagai dai’e ( pendakwah ) dan meneruskan
lagi dakwah nabi kita.
Selain itu, dakwah amat penting terutamanya pada
masa kini kerana banyak unsur-unsur fahaman yang bertentangan dengan agama kita
serta gejala sosial semakin menjadi-jadi. Ini penting dalam memartabatkan negara
kita setaraf dengan negara-negara islam yang lain serta menepati ucapan Perdana
Menteri iaitu Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.
Nukilan dan
kajian oleh Mohd Kamil Hakim dan Mohammad Quyyum (Jabatan
Usuluddin)-DU,API.KUIM2010.
No comments:
Post a Comment